Wednesday, July 10, 2019

EKSESAIS KERISMAS, TAMING SARI UJI KETAHANAN ASET TLDM

KD Kasturi antara yang terlibat dalam Eksesais Kerismas dan Taming sari
LATIHAN terbesar dalam sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Eksesais Kerismas diadakan semula selepas 14 tahun dihentikan, membabitkan 11 kapal TLDM termasuk kapal selam KD Tun Razak.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, eksesais itu turut membabitkan 3,000 anggota dan diadakan di perairan Laut China Selatan selama 11 hari, bermula kelmarin.

Katanya, tujuan utama eksesais itu adalah meningkatkan dan menilai tahap kesiapsiagaan Armada TLDM di peringkat operasi serta taktikal.

“Eksesais ini untuk menguji ketahanan dan keselamatan Armada TLDM dalam melaksanakan operasi maritim secara berterusan.

“Saya harap pegawai dan anggota terbabit mempelajari dan menambah pengetahuan serta kemahiran dalam konteks pelaksanaan operasi maritim,” katanya selepas Majlis Pembukaan Eksesais Kerismas 26/2019 di Auditorium Al-Haimi, Markas Wilayah Laut 1 di sini, semalam.

Kapal selam KD Tun Razak
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya dan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.

Beliau berharap eksesais itu mencapai objektif spesifik seperti digariskan dan seterusnya berupaya mempersiapkan armada bagi menangani sebarang bentuk ancaman sama ada konvensional atau sebaliknya.

Mohd Reza berkata, selepas Eksesais Kerismas, eksesais di perairan Laut China Selatan diteruskan dengan Eksesais Taming Sari siri 19/2019 yang bermula pada 12 hingga 18 Julai ini.

“Dua eksesais ini diadakan berterusan membabitkan 11 aset TLDM dan 3,000 pegawai dan anggota. Eksesais ini turut membabitkan aset dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Acara kemuncak siri eksesais kali ini adalah penembakan peluru berpandu Exocet MM40 Block 2 dan Sea Skua. Selepas lima tahun tanpa sebarang tembakan peluru berpandu, eksesais kali ini secara tidak langsung memberi peluang kita menguji kesiagaan missile platform,” katanya.

Katanya, walaupun penembakan peluru berpandu ini bukan luar biasa, namun bagi TLDM ia perkara yang amat penting dalam membuktikan keupayaan sebenar kuasa tempur TLDM.

sumber : Metro

1 comment:

terserah said...


agen365 agen jud! online terpecaya dan teraman di indonesia :)
WA : +85587781483