Sunday, November 7, 2021

BAJET 2022 PENUHI KEPERLUAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

foto kredit to Berita Harian

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk sektor pertahanan dan keselamatan negara dalam pembentangan Bajet 2022 yang inklusif dan menyeluruh, pada Jumaat.

Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sejumlah RM16.14 bilion bagi tahun 2022, iaitu meningkat kira-kira 1.78 peratus (%) berbanding peruntukan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM11.10 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pengurusan (OE) dan RM5.04 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan yang diterima kementeriannya tahun ini merupakan jumlah yang tertinggi sejak Rancangan Malaysia ke-9 (RMke-9).

Menurutnya, peruntukan itu bukan sahaja membolehkan kementerian meneruskan pelaksanaan inisiatif dan projek-projek sedia ada, malah meningkatkan lagi pelaksanaan inisiatif dan projek baharu merangkumi pelbagai agenda di bawah Teras-Teras Utama Kementerian Pertahanan. 

“Bagi Agenda Kesiagaan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.54 bilion khusus untuk perbelanjaan berkaitan aset. Penting untuk saya maklumkan, peruntukan ini meningkat 87% berbanding RM2.42 bilion tahun lalu.

“Tambahan ini amat penting dan selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan lagi usaha dalam memenuhi keperluan aset bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.

Mengulas lanjut katanya, selain aset, peruntukan Bajet 2022 turut akan digunakan untuk penggantian peralatan utama Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM14 juta.

Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi program menangani keusangan sistem yang melibatkan aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kementerian turut menerima peruntukan sebanyak RM40.7 juta bagi pembangunan penyelidikan sains dan teknologi pertahanan yang akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE), bagi memenuhi Agenda Sains Dan Teknologi.

Sumber : Sinar harian

No comments: