Tuesday, November 30, 2021

SELAMAT TINGGAL PESAWAT AERMACCHI MB-339CM

Pesawat Aermacchi MB-339CM Malaysia

Pesawat Aermacchi telah ditamatkan perkhidmatannya walaupun baru 12 tahun.  Jangka hayat yang amat singkat bagi mana-mana pesawat pejuang mahupun pesawat latihan. 

Kesemua tujuh pesawat latihan lanjutan (advanced trainer) Aermacchi MB-339CM yang dibangunkan oleh syarikat Alenia Aermacchi SpA daripada Itali dikatakan telah mencapai penghujung jangka hayat perkhidmatannya dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketujuh-tujuh pesawat Aermacchi MB-339CM milik TUDM bakal digantikan dengan pesawat yang mempunyai keupayaan dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan atau “Fighter Lead-In Trainer” dan pesawat tempur ringan “Light Combat Aircraft” (FLIT/LCA).

Ia merupakan antara fokus 10 tahun pertama iaitu dari 2021 sehingga 2030 di bawah Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

Beliau berkata pesawat Aermacchi MB-339CM itu memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 tetapi kini digantung operasinya sejak 2018 berikutan kemalangan dialami pesawat latihan itu di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin pesawat itu.

Menurut Datuk Seri Ikhmal lagi  tujuh pesawat berkenaan telah melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan.

Pada 17 Mei 2016, sebuah pesawat Aermacchi MB-339CM yang berpengkalan di Pangkalan TUDM di Kuantan terhempas di Nenasi, Pekan ketika melakukan penerbangan latihan.

pesawat MB-339 terhempas di Nenasi, Pekan Pahang

Bagaimanapun kedua-dua juruterbangnya terselamat selepas berjaya menggunakan kerusi anjal.

Menurut Panglima TUDM pada ketika itu,  Jeneral Tan Sri Roslan Saad, punca awal nahas dipercayai lebih menjurus kepada masalah teknikal.

Sejarah MB 339

MB-339 sudah mula dioperasikan oleh TUDM sebagai pesawat latihan jet lanjutan sejak era 80an dengan varian MB-339AB dengan sejumlah 10 buah pesawat.

Pada tahun 2006, Malaysia mengemukakan niat untuk memperoleh pesawat MB-339CM menggantikan siri AB yang telah terbang bersama TUDM sejak tahun 1980an, dengan sejumlah 8 pesawat MB-339CM diterima oleh TUDM pada tahun 2008 dan 2009 bagi melengkapi silibus latihan untuk juruterbang yang akan menerbangkan Su-30MKM.

Varian CM ini dilengkapi dengan ciri-ciri paparan kokpit digital, dengan dua tempat duduk untuk juruterbang pelatih dan jurulatih penerbangan, ciri-ciri aerodinamik yang setara dan mampu meniru keupayaan pesawat-pesawat pejuang generasi baharu.

Pesawat MB-339CM dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan moden termasuk Head Up Display (HUD) dan Multi Function Display (MFD) di kokpit depan dan belakang bagi membolehkan latihan sebenar kepada bakal-bakal juruterbang pesawat pejuang.

Selain bertindak sebagai pesawat latihan lanjutan, MB-339CM ini juga mempunyai keupayaan serangan terhad, samada bagi tujuan pertempuran udara atau sebagai pesawat sokongan rapat udara.

sumber : Defence Security Asia & MMP

No comments: