Thursday, March 15, 2018

TENTERA DARAT TERIMA ENAM HELIKOPTER MD530G TAHUN INI

MD530G- US
KLUANG - Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) akan memperoleh enam helikopter MD530G secara berperingkat-peringkat mulai pertengahan tahun ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, perolehan itu dilihat sejajar dengan Pelan Pembangunan Army 4NextG yang memfokuskan ke arah kemampuan Tentera Darat untuk beroperasi di dua wilayah secara serentak.

"Enam pesawat buatan Amerika Syarikat itu dilihat mampu meningkatkan keperluan operasi dan kepelbagaian fungsi PUTD pada hari ini seiring dengan transformasi dan arus pembangunan semasa.

"Kita berharap dapat menerbangkan pesawat baharu ini pada hari perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini," katanya kepada pemberita selepas perbarisan Hari Ulang Tahun Pasukan Udara Tentera Darat Ke-23 di Rejimen 881 PUTD Kem Mahkota, di sini sebentar tadi.

Pada majlis sama diadakan  Penganugerahan Beret Kehormat PUTD kepada Panglima Tentera Darat yang disempurnakan oleh Pengarah PUTD, Kolonel Yazid Yusof.

Zulkiple turut menyempurnakan acara pemakaian Sayap Kuartermaster Udara Tentera Darat bagi pesawat Augusta dan Nuri kepada lima anggota berpangkat sarjan yang selesai menjalani kursus Peralihan Pesawat KMU TD.

sumber : utusan

No comments: