Kapal pengangkut USS Carl Vinson dihantar Washington meronda di laut China Selatan |
Rondaan oleh Kapal USS Carl Vinson itu jelas menunjukkan ‘kedegilan’ Washington berhubung amaran Beijing pada Rabu lalu dengan meminta AS tidak mencabar kedaulatan negara terbabit di Laut China Selatan.
Menurut kenyataan Tentera Laut AS menerusi akaun Facebook milik pasukan itu, kapal kelas Nimitz, USS Carl Vinson memulakan operasi rutin membuat rondaan di Laut China Selatan, semalam.
Menurut Komander Grup Pengangkut Pesawat (CSG) 1, Tentera Laut AS, Laksamana Muda James Kilby, latihan sejak beberapa minggu lalu di Lautan Pasifik berjaya meningkatkan keberkesanan kesediaan kumpulan itu.
“Kami tidak sabar untuk menunjukkan kemampuan itu dan pada masa sama mengukuhkan hubungan kuat dengan negara sekutu, rakan kongsi dan rakan kami dari rantau Asia Pasifik,” katanya.
Pergeseran antara AS dan China berhubung perdagangan dan wilayah di bawah pentadbiran Donald Trump meningkatkan kebimbangan Laut China Selatan akan menjadi pusat tumpuan pergolakan kedua-dua negara.
China menamatkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan kelmarin, satu latihan yang turut melibatkan penggunaan pesawat pengangkut Beijing yang membuatkan negara penuntut sedikit gentar dengan kelebihan China.
Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam turut mengemukakan tuntutan bertindih ke atas perairan Laut China Selatan.
Sementara itu, CNN melaporkan, dalam sidang akhbar pada Rabu lalu, Kementerian Luar China memaklumkan tentang rancangan AS untuk meletakkan kedudukan USS Carl Vinson di Laut China Selatan selain memberi amaran kepada Washington agar tidak mencabar kedaulatannya.
“Kami mendesak AS agar tidak bertindak sedemikian. China menghormati dan menjunjung tinggi kebebasan berlayar di Laut China Selatan dengan negara-negara asing ‘menikmatinya’ mengikut undang-undang antarabangsa.
“Tetapi (kami) menentang cubaan atau usaha mana-mana negara untuk ‘melemahkan’ kedaulatan dan keselamatan China di atas nama kebebasan tersebut,” jelas jurucakap kementerian terbabit, Geng Shuang.
Sebelum ini, Washington mengkritik usaha Beijing membina pulau buatan dan kemudahan tentera di kawasan pertikaian di Laut China Selatan.
Washington juga melahirkan kebimbangan China bakal mengenakan sekatan sebarang pergerakan di perairan berkenaan.
Dalam pada itu, laman sesawang America’s Navy melaporkan, selain Kapal USS Carl Vinson, operasi rutin tersebut turut melibatkan Kapal USS Wayne E. Meyer, kapal pemusnah peluru berpandu dari kelas Arleigh Burke dan pesawat daripada Carrier Air Wing (CVW) 2. –
Sumber : Reuters
No comments:
Post a Comment